Permata Bahagia


marhaban2u.com

Sunday, October 31, 2010

berkatalah yang baik

Ketahuilah wahai manusia bahawa keadaanmu yang paling baik adalah ketika engkau mampu menjaga ucapanmu dari perkara yang tidak bermanfaat. Ucapkanlah kata-kata tentang sesuatu yang diperbolehkan, yang sama sekali tidak mencampak diri kita mahupun orang lain ke dalam neraka.Apabila engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak berguna, bererti engkau telah mensia-siakan waktumu, engkau akan dituntut atas ucapanmu.

Sedangkan apabila engkau mengalihkan waktu untuk berfikir, maka rahmat Allah akan terbuka luas dan engkau mendapat manfaat yang amat besar. Jika engkau mengucapkan tahlil, zikir dan tasbih, nescaya itu lebih baik bagimu.

Ketahuilah, sesungguhnya amat banyak ucapan yang boleh dipergunakan untuk membangunkan istana di syurga. Barangsiapa mampu membangunkan satu gedung di syurga, kemudian dia tidak dapat memanfaatkannya, maka dia berada dalam kerugian yang nyata.

Inilah perumpamaan orang yang meninggalkan zikir kepada Tuhannya dan sibuk dengan ucapan-ucapan yang tidak menguntungkan bahkan merugikan dirinya. Dengan demikian, meskipun dengan ucapan itu dia tidak menanggung dosa, namun dia telah kehilangan keuntungan yang begitu besar di sisi Allah SWT, iaitu keuntungan jika dia berzikir kepada Allah SWT.

Ketahuilah wahai manusia, sesungguhnya diamnya seorang mukmin itu adalah berfikir. Pandangannya adalah mengambil pengajaran dan ucapannya adalah zikir. Demikianlah yang tersebut dalam sabda Rasulullah SAW:

"Bahagian dari baiknya keislaman seseorang itu adalah dia meninggalkan apa yang tidak berguna baginya" (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Ketahuilah bahawa modal utama seorang hamba adalah waktu-waktu yang dia genggam. Ketika seorang hamba itu memakainya untuk sesuatu yang tidak penting dan tidak bernilai, maka dia telah mensia-siakan modalnya.

Sabda Rasulullah: "Barangsiapa diam, Nescaya selamat."(HR Tirmidzi)

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata benar atau pun diam!"(HR Bukhari dan Muslim)

Sama-samalah kita merenung kembali, memuhasabah diri sama ada kita ini pernah berkata sesuatu yang tidak berguna atau pun tidak.Insafilah diri dan bertaubatlah kepada Allah SWT. Dan perbaiki diri agar menjadi lebih baik. "Aslih nafsak wad'u ghairak", Perbaiki diri kamu dan ajak orang lain.

Dicatat oleh 王 mukufutaru 王

No comments: