Permata Bahagia


marhaban2u.com

Friday, September 14, 2012

Mulianya Akhlak Rasulullah S.A.W

Al-Qalam [4] Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. Daripada Anas berkata: “ Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara kemuliaanku di sisi Allah bahawa aku dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan tidak seorang pun melihat auratku.” (Riwayat Ibnu Asaakir).
Nabi Muhammad SAW juga bangkit dengan kain kafan yang dipakai semasa wafat Baginda. Baginda tidak pernah bertelanjang semasa hidupnya. Adat tradisi Arab Jahiliyyah kanak-kanak yang berusia 7 tahun akan dipaksa tawaf secara telanjang. Namun Baginda Mulia telah ditakdirkan pengsan setiap kali dibawa untuk tawaf yang akhirnya terlepaslah Baginda dari adat ini.
Rasulullah SAW mandi bersama isterinya Aisyah RA dengan memakai kain basahan. Aisyah RA berkata :”Aku tidak pernah memandang kemaluan Rasulullah SAW.” Atau ia berkata :”Sekali-kali aku tidak pernah melihat kemaluan Rasulullah SAW.” Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyebut “Ghufronaka” (Aku meminta keampunanmu) setelah keluar dari tandas, mungkin Baginda SAW memohon ampun kerana terpaksa membuka auratnya ketika hendak qada hajat atau membuang air. .

Isteri Rasulullah SAW, Aisyah pernah berkata: Maksudnya: Sesungguhnya akhlak Nabi ALLAH SAW adalah Al Quran. Berakhlaklah dengan akhlak Nabi iaitu akhlak AlQuran. Nabi mengamalkan setiap perkara dan akhlak baik yang disebut dalam AlQuran.

Dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah s.a.w, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berbuat baik kepada keluarganya. Dalam sebuah hadis, baginda telah bersabda, yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tabrani)
Bahkan Baginda turut membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah dan selalu membuat sendiri sesuatu kerja seperti menjahit pakaiannya tanpa menyuruh isteri Baginda.  Sunnah “layan diri” atau Do IT Yourself (DIY) ini turut diamalkan oleh masyarakat Barat walaupun mereka bukan beragama Islam.
Sebagai pemimpin, samada kepada rakyat atau keluarga, Rasulullah s.a.w. tidak pernah bercakap kasar, tidak bersikap bengis, tidak marah-marah, tidak menengking atau memalukan mereka yang berada di bawah pimpinannya. Sewajarnyalah kita mencontohi sikap Baginda Mulia dalam hal ini, kerana nilai akhlak mulia Baginda adalah cukup tinggi.
Anas Bin Malik r.a. telah berkhidmat selama 10 tahun kepada Rasulullah s.a.w. semenjak beliau masih kecil lagi. Sepanjang perkhidmatannya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengatakan ‘salah’ terhadap kesalahan yang Anas lakukan, sebaliknya Baginda  memberi tunjuk cara dengan menunjukkan contoh perbuatan yang betul bagi membetulkan kesilapan Anas itu, inilah cara Baginda Mulia s.a.w.
Dikisahkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa ketika Nabi pertama kali masuk ke kota Madinah, Baginda tidak memiliki pembantu. Lalu Abu Talhah memegang tanganku dan mengajak aku pergi ke hadapan Nabi dan berkata: “Wahai Nabiyullah, sesungguhnya Anas adalah anak yang cerdas, mohon jadikan dia sebagai pembantumu.” Maka aku pun membantu Rasulullah s.a.w. ketika bermusafir dan juga ketika di Madinah sehinggalah Rasulullah wafat. Selama aku membantu Nabi, Baginda tidak pernah berkata, “mengapa kamu melakukan ini?” untuk apa yang aku lakukan atau “mengapa kamu tinggalkan ini?” untuk apa yang tidak aku lakukan, [Riwayat Bukhari]. 
Anas bin Malik r.a juga menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling baik akhlaknya, paling lapang dadanya dan paling besar kasih sayangnya. Suatu hari Baginda menghantarku untuk suatu keperluan, lalu aku berangkat, tetapi aku menuju kepada anak-anak yang sedang bermain di pasar dan bukannya melaksanakan tugas Rasul itu, aku ingin bermain bersama mereka, aku tidak pergi menunaikan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah. Beberapa ketika setelah berada di tengah-tengah anak-anak itu, aku merasa seseorang berdiri di belakangku dan memegang bajuku. Aku menoleh, ternyata dia adalah Rasulullah s.a.w, dengan tersenyum dia berkata, “Wahai Anas kecil, apakah kamu telah pergi seperti yang aku perintahkan?” Maka aku pun menjawab, “Ya, sekarang aku berangkat, Rasulullah.                                         dipetik dari http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/05/mulianya-akhlak-rasulullah-s-a-w/

Kisah Rasulullah SAW dengan pengemis

Kisah ini mungkin sudah selalu didengar oleh kita melalui ceramah dan tazkirah tapi amat baik untuk Al-Hikmah kongsikan di sini kerana dewasa ini akhlak umat islam amat menyedihkan. Saat ini, Al-Hikmah merasakan orang Malaysia yang rata-ratanya umat islam sudah tidak lagi mempunyai akhlak yang mencerminkan dirinya orang yang berbudaya tinggi. Orang Islam sudah tidak mencerminkan tingginya darjat agama Islam. Mengumpat dan mecela sudah menjadi hal yang biasa. Sifat ikram sesama islam sudah hampir lupus. Hati orang-orang islam sudah rosak sehingga umat sudah tidak bersatu lagi.
Oleh itu izinkan Al-Hikmah untuk mengisahkan satu kisah yang menunjukkan betapa tingginya akhlak Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam untuk dijadikan contoh tauladan. Mungkin kisah ini sering anda dengar, akan tetapi tidak ada salahnya saya menceritakan kembali, siapa tahu anda belum pernah mendengarnya.
Alkisah, hiduplah di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta, hari demi hari ia lalui dengan selalu berkata “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”.
Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam melakukannya hingga menjelang Baginda Sallallahu’alaihi wasallam wafat. Setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta tersebut.
Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu, as-Siddiq berkunjung ke rumah anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau bertanya kepada anaknya, “anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan”, Aisyah Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja”. “Apakah itu wahai anakku?”,tanya Abu Bakar Radi-Allahu anhu. Maka Aisyah Radi-Allahu anha menjawap, “Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada di sana”, kata Aisyah Radi-Allahu anha.
Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan menemui pengemis Yahudi buta tersebut. Pengemis Yahudi buta ini selalu berteriak-teriak dan berkata kepada orang yang mendekatinya. Abu Bakar Radi-Allahu anhu pun hairan, kenapa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari.
“Wahai saudaraku..janganlah kalian mendekati Muhammad. Jangan sampai kalian terpedaya dengan tipu dayanya. Dia itu orang gila. Tukang sihir. Suka menyebarkan fitnah dengan agama barunya..!!” Kata-kata ini selalu meluncur dari mulutnya tiada henti setiap hari. Perkataan yang buruk yang merendahkan seorang nabi.
Sampai sahaja Abu Bakar Radi-Allahu anhu di hadapan pengemis itu lantas memberikan makanan, pengemis itu mengherdik, “Siapa kau..!!” “Aku adalah orang yang setiap hari memberi makan kamu..”
Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang setiap hari memberikan ia makanan. Akan tetapi pengemis Yahudi buta itu tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih lembut dan lebih sabar dalam menyuapinya.
“Bukan..kamu bukan orang yang setiap hari memberiku makan..! Apabila dia kesini, aku tidak pernah kesusahan memegang makananku, aku juga tidak susah untuk memakannya bahkan dia telah meluembutkan makananku sebelum masuk ke mulutku..”
Dengan linangan air mata kerana terharu mendengar akhlak dari Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu memberi makan dan menyuapi mulut dari orang yang setiap hari kata dari mulut itu hanyalah ucapan kotor dan hina yang merendahkan dan melecehkan diri-Nya. Ucapan kotor dan umpatan dibalas dengan suapan makanan dengan kasih sayang. Allahu Akhbar!
Kemudian Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab “Aku memang bukan orang yang setiap hari memberimu makan. Akan tetapi, Beliau tidak akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan..”
Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata. “Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi..”
“Beliau sudah meninggalkan dunia ini dan akulah yang akan menggantikan Beliau. Aku adalah Abu Bakar Radi-Allahu anhu sahabat Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam adalah orang yang setiap hari menyuapimu..”
Seketika itu juga linangan air mata pengemis Yahudi buta makin deras membasahi pipinya lantas dia menyesal kerana orang yang selama ini diumpat dan dilecehkan harga dirinya adalah orang yang setiap hari dengan sabar menyuapinya. Saat itu juga, pengemis itu mengucapkan dua kalimat Syahadah dan masuk Islam di hadapan Abu Bakar Radi-Allahu anhu.