Permata Bahagia


marhaban2u.com

Monday, November 22, 2010

Raja dan Tiga Orang Menterinya

Pada suatu hari seorang raja memanggil tiga orang menterinya datang mengadap. Setelah ketiga-tiganya datang mengadap baginda perintahkan supaya diberi kepada setiap orang menterinya satu karung kosong dan perintahkan mereka agar mengisi karung tersebut dengan buah-buahan yang ada di taman istana sampai penuh. Esok mereka mesti pulangkan kepada baginda karung yang telah diisi seperti yang diperintahkan.

Salah seorang daripada menteri itu memilih dengan cermat dan berhati-hati buah-buahan yang elok-elok dan diisi ke dalam karungnya untuk dipersembahkan kepada raja.

Manakala menteri yang seorang lagi berfikir raja sebenarnya bukan hendakkan buah-buahan itu untuk dirinya. Maka dia mengutip dan mengisi buah-buahaan sehingga penuh karungnya dalam keadaan malas tanpa mengira buah yang elok atau sebaliknya.

Menteri yang ketiga pula berfikir raja bukan hendakkan buah-buahan itu dan baginda tidak akan tengok pun apa yang ada di dalam karung. Lalu dia mengutip dan memasukkan apa saja yang tercapai oleh tangannya; rumput rampai, daun-daun kering dan sebagainya sehingga penuh karung.

Keesokan harinya ketiga-tiga menteri itu datang mengadap dengan membawa karung masing-masing yang telah penuh berisi.

Dengan tidak semena-mena raja memerintahkan ketiga-tiganya dipenjarakan bersama karung masing-masing di dalam bilik kurungan yang berasingan di luar kota tanpa dibekalkan sebarang makanan dan minuman selama tiga bulan. Tidak ada siapapun yang dibenarkan datang melawat dan mengirim makanan atau minuman.

Bayangkan nasib mereka di dalam penjara masing-masing!!!

Menteri pertama tidak mengahadapi sebarang masalah. Dia dapat menikmati semua buah-buahan yang elok yang telah dipilihnya dengan penuh hati-hati.

Yang kedua agak perit kerana karungnya bercampur aduk antara buah yang elok dengan yang busuk. Dengan susah payah dia terpaksa memilih mana yang elok saja untuk mengisi perutnya.

Manakala yang ketiga, alangkah malang nasibnya. Karungnya hanya berisi daun-daun kering dan rumput rampai yang tidak boleh dimakan. Tidak sampai tiga bulan dia sudah mati kelaparan.

Demikian bandingan hidup kita. Dunia ini laksana sebuah taman yang penuh dengan pelbagai peluang untuk mengutip amal soleh untuk dibawa bekal ke akhirat nanti, untuk dibawa bekal ketika kita dipenjara di dalam kubur nanti. Amalan yang soleh itulah bekalan, teman, makanan dan cahaya yang menerangi kegelapan di sana nanti.


Maka adakah kita telah mengutip bekalan secukupnya untuk hari yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja? 



Ustazah Maznah Daud

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Thursday, November 11, 2010

Rama-rama dan bunga

seorang lelaki berdoa pada Allah agar diberikan bunga dan rama-rama. Namun Allah memberikannya kaktus dan ulat. lelaki itu sedih, tidak faham mengapa pemberian-Nya berbeza daripada permintaanya. Dan memutuskan untuk tidak mempersoalkannya. Selepas satu tempoh, lelaki ini memikirkan semula permohonan doanya yang telah lama dilupakannya. Lelaki ini amat terperanjat apabila melihat dari pokok kaktus yang hodoh dan berduri itu tumbuh pula bunga yang cantik. Dan daripada ulat yang terselindung, telah bertukar menjadi rama-rama yang cantik.

Allah sentiasa melakukan semua perkara dengan betul. Cara Allah semestinya cara terbaik. Walaupun kelihatan semuanya salah. Jika anda memohon sesuatu dan menerima yang lain dari Allah, percayalah pastinya Allah sentiasa mengurniakan apa yang diminta pada masa yang sesuai. Apa yang anda minta tak semestinya apa yang diperlukan. Allah tidak akan gagal memenuhi permintaan, teruskan berdoa tanpa ragu dan mengeluh. DURI hari ini....adalah BUNGA hari esok! Allah mengurniakan pilihan terbaik pada mereka yang menyerahkan ketentuan kepada-Nya..