Kisah ini mungkin sudah selalu didengar oleh kita melalui ceramah dan
tazkirah tapi amat baik untuk Al-Hikmah kongsikan di sini kerana dewasa
ini akhlak umat
islam amat menyedihkan. Saat ini, Al-Hikmah merasakan orang Malaysia
yang rata-ratanya umat islam sudah tidak lagi mempunyai akhlak yang
mencerminkan dirinya orang yang berbudaya tinggi. Orang Islam sudah
tidak mencerminkan tingginya darjat agama Islam. Mengumpat dan mecela
sudah menjadi hal yang biasa. Sifat ikram sesama islam sudah hampir
lupus. Hati orang-orang islam sudah rosak sehingga umat sudah tidak
bersatu lagi.
Oleh itu izinkan Al-Hikmah untuk mengisahkan satu kisah yang
menunjukkan betapa tingginya akhlak Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi
wasallam untuk dijadikan contoh tauladan. Mungkin kisah ini sering anda
dengar, akan tetapi tidak ada salahnya saya menceritakan kembali, siapa
tahu anda belum pernah mendengarnya.
Alkisah, hiduplah di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang
pengemis Yahudi buta, hari demi hari ia lalui dengan selalu berkata
“Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu
pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan
dipengaruhinya”.
Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam mendatanginya
dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah
Sallallahu’alaihi wasallam menyuapkan makanan yang dibawanya kepada
pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati
orang yang bernama Muhammad. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam
melakukannya hingga menjelang Baginda Sallallahu’alaihi wasallam wafat.
Setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam tidak ada lagi
orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta
tersebut.
Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu, as-Siddiq berkunjung ke rumah
anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau bertanya kepada anaknya,
“anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan”, Aisyah
Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, “Wahai ayah engkau
adalah seorang ahli sunnah
hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu
sunnah saja”. “Apakah itu wahai anakku?”,tanya Abu Bakar Radi-Allahu
anhu. Maka Aisyah Radi-Allahu anha menjawap, “Setiap pagi Rasulullah
Sallallahu’alaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan
membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada
di sana”, kata Aisyah Radi-Allahu anha.
Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan
menemui pengemis Yahudi buta tersebut. Pengemis Yahudi buta ini selalu
berteriak-teriak dan berkata kepada orang yang mendekatinya. Abu Bakar
Radi-Allahu anhu pun hairan, kenapa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi
wasallam memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari.
“Wahai saudaraku..janganlah kalian mendekati Muhammad. Jangan sampai
kalian terpedaya dengan tipu dayanya. Dia itu orang gila. Tukang sihir.
Suka menyebarkan fitnah dengan agama barunya..!!” Kata-kata ini selalu
meluncur dari mulutnya tiada henti setiap hari. Perkataan yang buruk
yang merendahkan seorang nabi.
Sampai sahaja Abu Bakar Radi-Allahu anhu di hadapan pengemis itu
lantas memberikan makanan, pengemis itu mengherdik, “Siapa kau..!!” “Aku
adalah orang yang setiap hari memberi makan kamu..”
Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang
setiap hari memberikan ia makanan. Akan tetapi pengemis Yahudi buta itu
tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih
lembut dan lebih sabar dalam menyuapinya.
“Bukan..kamu bukan orang yang setiap hari memberiku makan..! Apabila
dia kesini, aku tidak pernah kesusahan memegang makananku, aku juga
tidak susah untuk memakannya bahkan dia telah meluembutkan makananku
sebelum masuk ke mulutku..”
Dengan linangan air mata kerana terharu mendengar akhlak dari
Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihi
wasallam selalu memberi makan dan menyuapi mulut dari orang yang setiap
hari kata dari mulut itu hanyalah ucapan kotor dan hina yang merendahkan
dan melecehkan diri-Nya. Ucapan kotor dan umpatan dibalas dengan suapan
makanan dengan kasih sayang. Allahu Akhbar!
Kemudian Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab “Aku memang bukan orang
yang setiap hari memberimu makan. Akan tetapi, Beliau tidak akan datang
lagi ke sini untuk memberimu makan..”
Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata. “Apa salahku
sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan
maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi..”
“Beliau sudah meninggalkan dunia ini dan akulah yang akan
menggantikan Beliau. Aku adalah Abu Bakar Radi-Allahu anhu sahabat
Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi
wasallam adalah orang yang setiap hari menyuapimu..”
Seketika itu juga linangan air mata pengemis Yahudi buta makin deras
membasahi pipinya lantas dia menyesal kerana orang yang selama ini
diumpat dan dilecehkan harga dirinya adalah orang yang setiap hari
dengan sabar menyuapinya. Saat itu juga, pengemis itu mengucapkan dua
kalimat Syahadah dan masuk Islam di hadapan Abu Bakar Radi-Allahu anhu.
No comments:
Post a Comment