Permata Bahagia


marhaban2u.com

Thursday, December 8, 2011

Klinik baharu di Labis, Chaah, Bekok

LABIS 3 Nov. - Penduduk sekitar Labis, Chaah dan Bekok bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik apabila Klinik Kesihatan Labis yang baharu menelan belanja RM20 juta mula beroperasi awal bulan depan.

Antara kemudahan tambahan yang diwujudkan di klinik tersebut adalah fisioterapi, x-ray dan pengunaan Fundus Camera bagi pemeriksaan mata dan makmal yang lebih baik.

Selain itu, ia turut mempunyai dua pegawai perubatan dan tiga penolong pegawai perubatan serta seorang pegawai zat makanan yang bertindak sebagai kaunselor penyusuan ibu.

Klinik tersebut turut mempunyai perkhidmatan ambulans dan klinik pergigian yang lebih baik di samping kuarters untuk stafnya.

Dengan adanya kemudahan tersebut, penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu pergi jauh ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan berkenaan.

Penolong Pegawai Perubatan klinik tersebut, Mohd. Akmal Askandar melahirkan rasa gembira dan tidak sabar untuk memulakan tugas di bangunan baharu yang lebih selesa.

"Saya harap tempat baharu nanti bukan sahaja memberikan keselesaan kepada petugas kesihatan, tetapi pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan berikutan kemudahan lebih baik yang disediakan," katanya.

Bagi seorang suri rumah, D. Saroja, 49, yang kerap datang mendapatkan rawatan penyakit kencing manis berkata, dengan adanya klinik baharu itu nanti, memudahkannya mendapatkan rawatan kerana ia terletak berhampiran hentian bas berbanding sekarang.

Sementara itu seorang guru, Norlaila Nasir, 46, pula yakin klinik baharu itu mampu memberi keselesaan kepada orang ramai terutamanya dari segi keselesaan dan ruang meletak kenderaan.

Bagi warga emas, Gan Kim Hui, 74, berharap klinik baharu itu memberi lebih banyak keselesaan untuk golongan sepertinya mendapatkan rawatan dengan tidak perlu berjalan jauh.

0 comments: